WILAYAH - TENGAH > BERITA

APMM Perak Tahan Dua Vesel Nelayan Tempatan, Rampas Lebih RM3 Juta

27/04/2026 06:58 PM

IPOH, 27 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan dua vesel nelayan tempatan kelas B, yang disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kedua-dua vesel itu, ditahan pada kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Tanjung Beras Basah, Lumut menerusi Ops Sayong, Ops Pintas dan Ops Tiris 4.0.

Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira 9.40 malam, manakala tangkapan kedua pula pada 10.13 malam dengan kedua-dua vesel dikendalikan dua kru termasuk tekong warga Myanmar.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen, kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika dari daratan terhampir.

“Vesel juga tidak diusahakan sendiri dan tiada surat kebenaran menggunakan pekerja asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata pemeriksaan lanjut menemukan hasil laut anggaran 50 kilogram (kg) bagi setiap vesel yang ditahan dengan jumlah keseluruhan sekitar 100kg.

Beliau berkata kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan bernilai lebih RM3 juta telah ditahan dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh serta diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut. 

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dan APMM memandang serius tindakan segelintir pengusaha vesel yang masih berdegil melanggar syarat lesen dan menggaji kru asing tanpa izin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan