KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- KHPT Holdings Bhd (KHPT) telah mencadangkan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Ngai Cheong Metal Industries Sdn Bhd (NCMI) dengan pertimbangan tunai sebanyak RM19.5 juta.
Pengambilalihan itu dijangka memperluas penawaran perkhidmatan kumpulan melalui penambahan alat ganti automotif baharu serta mempermudah penyertaannya ke dalam sektor bukan automotif seperti industri elektrik dan elektronik (E&E).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat berkenaan yang terlibat terutamanya dalam pembuatan dan penjualan alat ganti serta komponen automotif memaklumkan bahawa cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembelian 100 peratus kepentingan ekuiti dalam NCMI, sebuah pengeluar pengecapan logam.
KHPT juga akan melaksanakan cadangan pajakan, kepelbagaian perniagaan dan perubahan terhadap penggunaan hasil daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO).
Pengambilalihan berkenaan akan dibiayai sebahagiannya melalui peruntukan semula hasil IPO berjumlah RM16.37 juta yang mewakili 75.33 peratus daripada jumlah keseluruhan dana yang dikumpul manakala baki RM3.13 juta lagi akan dibiayai melalui dana janaan dalaman dan/atau pinjaman bank, katanya.
Apabila urusan pengambilalihan selesai, NCMI akan menjadi anak syarikat milik penuh KHPT.
NCMI terlibat secara utama dalam pembuatan dan pembekalan bahagian pengecapan logam serta reka bentuk dan pembangunan peralatan, jig, acuan dan acuan pemotong.
Seiring dengan pengambilalihan tersebut, NCMI akan menyewa sebuah kilang di Puchong, Selangor bagi tempoh 10 tahun dengan kadar sewa bermula pada RM1.3 juta setahun dan akan meningkat kira-kira 10 peratus setiap tiga tahun.
Selain itu, KHPT bercadang untuk mempelbagaikan perniagaan sedia ada bagi merangkumi perkhidmatan pengecapan logam untuk sektor bukan automotif dengan memanfaatkan keupayaan dan pangkalan pelanggan NCMI.
Kumpulan itu kini memperoleh sebahagian besar perolehannya daripada pembuatan alat ganti dan komponen automotif serta langkah kepelbagaian ini dijangka mengurangkan pergantungan kepada sektor automotif sambil meningkatkan daya tahan pendapatan.
KHPT memaklumkan bahawa peruntukan semula tersebut akan membolehkannya terlibat dalam syarikat yang menjana hasil dan menguntungkan berbanding membeli serta memasang barisan pengeluaran baharu yang memerlukan tempoh matang sebelum ia dapat beroperasi sepenuhnya.
Cadangan-cadangan tersebut dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026, tertakluk kepada pemenuhan semua syarat terdahulu dalam perjanjian jual beli saham termasuk perolehan kelulusan yang diperlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial