WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Uber: Emosi Bercampur Buat Thinaah Meskipun Mengetuai Malaysia Ke Suku Akhir

28/04/2026 08:35 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

HORSENS (Denmark), 28 April (Bernama) -- Malaysia mengakhiri kempen peringkat Kumpulan B Final Piala Uber 2026 dengan emosi bercampur terutama bagi M. Thinaah yang mengetuai pasukannya melangkah ke suku akhir buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun.

Thinnah, yang juga pemain beregu wanita nombor satu negara, berkata pencapaian itu datang dengan sedikit rasa kecewa buat dirinya kerana tidak dapat menyumbang walaupun satu mata sepanjang perlawanan di Forum Horsens, di sini setakat ini.

“Sebagai ketua pasukan, saya sedikit kecewa kerana saya tidak dapat memberikan walaupun satu mata. Betul-betul kecewa bukan sahaja sebagai ketua pasukan bahkan pemain paling tua dalam pasukan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Thinaah, yang bergandingan dengan muka baharu Ong Xin Yee, tewas 9-21, 9-21 kepada pasangan nombor 6 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam perlawanan kedua menentang Jepun. 

Jepun, yang merupakan juara enam kali, muncul sebagai pendahulu Kumpulan B selepas menewaskan Malaysia 4-1, sekali gus meletakkan negara di tempat kedua. 

Xin Yee-Thinaah turut tewas, 22-20, 19-21, 19-21 kepada pasangan Bengisu Ercetin–Nazlican Inci dari Turkiye pada aksi pembukaan Kumpulan B pada Sabtu lepas. 

Namun, Malaysia berjaya mencatat kemenangan ke atas Turkiye dengan keputusan 3-2.

Sementara itu, Thinaah berkata secara keseluruhan dia berbangga dengan pencapaian Malaysia di peringkat kumpulan.

“Sejujurnya, saya gembira dan bangga dengan semua rakan sepasukan…mereka benar-benar memberikan semangat sepenuhnya,” katanya.

Malaysia mengesahkan kemaraan ke suku akhir buat kali keempat dalam sejarah Piala Uber selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Afrika Selatan pada Ahad lepas.

Skuad badminton negara pernah mara ke suku akhir pada edisi 2004, 2008 dan 2010, iaitu pencapaian terbaik dalam kejohanan itu setakat ini.

Final Piala Uber 2026 yang bermula 24 April lepas akan berlangsung hingga 3 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan