WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Elemen Penerangan MA63 Dalam Modul Latihan AKM Perkukuh Kefahaman Rakyat - Mustapha

28/04/2026 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Cadangan memasukkan elemen penerangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam modul latihan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) telah dimulakan menerusi perbincangan awal, sebagai usaha memperkukuh kefahaman rakyat terhadap semangat Persekutuan yang menjadi asas pembentukan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata perbincangan peringkat pertama mengenainya sedang diperhalusi bagi memastikan pendekatan dan kandungannya lebih jelas serta mudah difahami rakyat.

“Jangan lupa, (selain) tuntut hak, kita ada tanggungjawab untuk membina negara. Kedua-dua perkara ini perlu selari. Ini yang kita mahu beri kefahaman kepada rakyat Malaysia bahawa dalam kita menuntut hak, kita juga kena bersama untuk mengangkat negara.

“Kita cuba (laksanakan tahun ini). Saya sendiri mahu supaya modul ini dapat dilaksanakan secepat mungkin sebab ini penting untuk memberi kefahaman kepada rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan pejabat AKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Beliau berkata elemen penerangan itu penting untuk meningkatkan kefahaman serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat khususnya mengenai MA63 yang menjadi asas pembentukan Malaysia dan tidak wajar dilihat sebagai isu yang hanya melibatkan Sabah dan Sarawak.

“Ramai melihat isu MA63 hanya melibatkan Sabah dan Sarawak. Mereka tidak memikirkan MA63 adalah tulang belakang pembentukan negara ini sebab kita (Borneo) telah bersetuju untuk membentuk negara ini bersama. 

“Antaranya ialah kita mahu supaya ada beberapa perkara yang perlu dimasukkan dalam perlembagaan negara yang perlu dilaksanakan. Itu yang menjadi isu juga sekarang ini. Saya fikir AKM punya peranan cukup penting (untuk menyebarkan dan meningkatkan kefahaman masyarakat),” katanya. 

Terdahulu, Mustapha dalam ucapannya berkata pembentukan Malaysia bukan sekadar penyatuan wilayah, sebaliknya satu ikatan yang dibina atas asas persefahaman, kepercayaan dan semangat kebersamaan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berkata AKM Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya khususnya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kefahaman antara wilayah dengan mengambil kira keunikan sejarah, budaya serta identiti masyarakat di Sabah dan Sarawak. 

“Justeru, elemen kenegaraan yang dibawa oleh AKM perlu terus menekankan naratif ini agar ia benar-benar difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak, saya melihat peranan AKM amat signifikan dalam memperkukuh kefahaman terhadap pembentukan dan semangat Persekutuan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan