MELAKA, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka mengenal pasti Pantai Puteri sebagai sebahagian daripada Zon Pelabuhan dan Industri Utara Straits Of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang akan memacu pertumbuhan ekonomi baharu negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perancangan di kawasan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri maritim berimpak tinggi dengan memanfaatkan kelebihan semula jadi perairan yang mempunyai kedalaman hingga 20 meter dan sesuai untuk aktiviti perkapalan besar.
“Kedudukan strategik kawasan ini yang berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Bruas serta Pusat Penapisan Minyak Petronas Sungai Udang turut mengukuhkan potensi pembangunan bersepadu di sepanjang pesisir Pantai Puteri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) yang mahu tahu mengenai perancangan SM-WEZ terhadap pembangunan bersepadu di sepanjang pesisir Pantai Puteri.
Ab Rauf berkata pembangunan di pesisir pantai itu dirancang secara menyeluruh dan berfasa melibatkan dua syarikat konsesi dengan keluasan penambakan keseluruhan sekitar 352 hektar.
“Berdasarkan status semasa, proses mendapatkan kelulusan teknikal sedang giat dilaksanakan dan kerja penambakan dijangka mengambil tempoh hingga 10 tahun sebelum aktiviti pembangunan dilaksanakan secara berfasa.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri juga amat prihatin terhadap isu hakisan pantai dan kepentingan sektor pelancongan di Pantai Puteri, justeru pendekatan pembangunan yang diambil adalah seimbang dan tidak mengabaikan keperluan pemuliharaan,” katanya.
Beliau berkata aktiviti penambakan dirancang dengan mengambil kira jarak penampan kira-kira 300 meter daripada garis pantai sedia ada bagi memastikan ekosistem marin terus terpelihara serta aktiviti pelancongan dan rekreasi tidak terjejas, selain menjadi laluan keluar masuk nelayan setempat ke perairan Selat Melaka.
“Ini membuktikan pembangunan dirancang bukan sahaja bersifat ekonomi tetapi turut mengambil kira kesejahteraan rakyat setempat.
“Semua aktiviti penambakan adalah tertakluk kepada pematuhan ketat terhadap keperluan teknikal dan perundangan termasuk pelaksanaan langkah mitigasi seperti pembinaan ‘rock revetment’ dan pemasangan ‘silt curtain’, serta pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan bagi memastikan impak kepada alam sekitar dapat diminimumkan secara efektif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial