WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Sokong Cadangan Bina Kilang Penapisan Minyak

29/04/2026 04:40 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 29 April (Bernama) — Majlis Penasihat Perbadanan Labuan sebulat suara menyokong cadangan bagi membina sebuah kilang penapisan minyak di pulau berkenaan.

Ia menyifatkannya sebagai satu langkah strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengerusinya Datuk Bashir Alias berkata cadangan itu yang asalnya dicetuskan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh menerima sokongan penuh daripada ahli-ahli majlis yang mewakili pelbagai sektor ekonomi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semua ahli bersetuju pembangunan kilang penapisan minyak di Labuan boleh berfungsi sebagai pemangkin kepada pengembangan ekonomi selain membuka peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat kedua majlis berkenaan di sini hari ini.

Projek kilang penapisan minyak melengkapkan peranan Labuan dalam sektor minyak dan gas terutamanya dalam menyokong aktiviti huluan di wilayah berhampiran seperti Sabah dan Brunei di samping memperkukuh keupayaan nilai tambah pemprosesan, katanya.

Beliau memberitahu, kedudukan strategik Labuan dalam laluan perkapalan utama serantau ditambah dengan perkhidmatan sokongan minyak dan gas sedia ada, menjadikannya sebagai destinasi yang sesuai untuk aktiviti petroleum hiliran seperti penapisan.

Pihak majlis turut menyifatkan cadangan tersebut sebagai tepat pada masanya, seiring dengan usaha untuk memulihkan landskap ekonomi Labuan dan memperkukuh kedudukannya sebagai hab perniagaan dan kewangan antarabangsa.

Bashir berkata majlis berkenaan akan mencadangkan kepada Perbadanan Labuan untuk mengenal pasti tanah yang sesuai bagi cadangan pembangunan tersebut dengan mengambil kira kesediaan infrastruktur dan keperluan pengezonan.

Majlis itu juga menekankan kepentingan menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang komprehensif termasuk penilaian impak alam sekitar dan kesediaan infrastruktur bagi memastikan kelestarian jangka panjang projek tersebut serta penjajaran dengan keperluan kawal selia.

Beliau menambah sebarang pembangunan mesti mengimbangi faedah ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar memandangkan keluasan tanah Labuan yang terhad serta aspirasinya untuk mengekalkan persekitaran yang mampan dan layak dihuni.

Mereka yang dilantik menganggotai majlis tersebut ialah Datuk Seri Patrick Tiong yang mewakili sektor maritim dan logistik; Presiden Dewan Perniagaan Islam Labuan, Datuk Dr Ramli Tahir dan Datuk Wong Kii Yii daripada Dewan Perniagaan Cina Labuan.

Ia turut merangkumi wakil-wakil NGO iaitu Datuk Niswati Tarji, Seah Kiat Leong dan Haziq Ruslain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan