WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NRW: Selangor Belanja RM800 Juta Projek Tukar Paip Tahun Lepas

29/04/2026 05:25 PM

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM800 juta bagi projek penukaran paip sepanjang 285 kilometer (km) di seluruh negeri dalam usaha menangani isu air tidak berhasil (NRW) pada tahun lepas.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata tindakan itu membolehkan NRW diturunkan kepada 27 peratus berbanding 34 peratus pada 2017 hingga 2018, dan projek itu akan diteruskan dengan sasaran penukaran 300 km.

Beliau berkata sasaran untuk mengurangkan kadar NRW menelan belanja tinggi kerana kerajaan negeri perlu mengeluarkan kos sehingga RM300 juta bagi menurunkan sekurang-kurangnya satu peratus kadar tersebut.

“NRW bukan perkara yang mudah ditangani kerana kos penggantian (tinggi). Tetapi bukan hanya penggantian paip boleh mengurangkan (NRW), banyak lagi punca ia berlaku antaranya (kebocoran) tangki air serta isu kecurian,” katanya. 

Izham berkata demikian dalam sidang media pelancaran laman sesawang Pelan Hala Tuju Ekonomi Hijau Negeri Selangor (SAGE) di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan kadar NRW dapat diturunkan bawah 20 peratus dengan pelaksanaan pelan pengurangan sehingga satu peratus setiap tahun.  

Terdahulu, kerajaan negeri melancarkan laman sesawang SAGE www.selangor.gov.my/sage, iaitu platform digital khusus bagi menjejak usaha dalam tempoh 10 tahun ke arah ekonomi lebih bersih dan berdaya tahan.

Izham berkata laman sesawang itu papan pemuka utama SAGE untuk pengguna meneroka pelan hala tuju 2025 hingga 2035, berinteraksi dengan agenda ekonomi hijau negeri dan menjejak pencapaian pelaksanaan projek secara masa nyata.

Pembangunan SAGE berasaskan lebih 30 projek strategik negeri merangkumi keseluruhan spektrum tenaga antaranya brown energy, tenaga boleh baharu dan lestari.

“Semua ini bertujuan memastikan Selangor bersedia menghadapi permintaan masa depan, terutamanya daripada sektor berintensif tinggi seperti pusat data dan semikonduktor.

“Pendekatan ini dibuat secara berperingkat dan seimbang tanpa menjejaskan keselamatan bekalan tenaga,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan