WILAYAH - SELATAN > BERITA

Tiga Suspek Utama Kes Lelaki Maut Ditetak Di Tangkak Ditahan

29/04/2026 06:18 PM

TANGKAK, 29 April (Bernama) -- Polis menahan tiga suspek utama yang diburu sejak lebih sebulan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki maut ditetak di sebuah restoran di Bukit Kangkar di sini, 13 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata kesemua lelaki berusia 24 hingga 32 tahun itu ditahan di tiga lokasi sekitar Jasin, Melaka malam tadi hasil maklumat dan risikan berterusan.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu dipercayai dapat melengkapkan siasatan kes bunuh tersebut.

“Ya, saya sahkan ketiga-tiga suspek utama telah ditangkap malam tadi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu, namun kesemua mereka telah dibebaskan dengan bon polis sebaik proses merakam keterangan selesai dijalankan.

Dalam kejadian itu, mangsa Tong Wei Sheng, 38, maut sebaik tiba di hospital akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang badan selepas ditetak oleh tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan