WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TDM Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Ke Indonesia 

29/04/2026 06:49 PM

KUCHING, 29 April (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah ke Indonesia dalam operasi di kawasan Serikin, Bau pada Isnin.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan itu merupakan hasil tindakan pasukan Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) di bawah Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged).

Menurut kenyataan itu pasukan tersebut telah mengesan seorang lelaki warga Indonesia membawa bungkusan yang cuba melintasi sempadan menggunakan laluan haram.

“Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan serta pengenalan diri.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit dalam perjalanan membawa bungkusan berisi dadah dari Malaysia untuk diseludup ke Indonesia,” menurut kenyataan itu.

TDM memaklumkan pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemukan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM127,350.

Antara dirampas ialah 795 gram syabu bernilai RM119,250; 250 biji pil Eramin 5 (RM7,500) serta tiga botol cecair rokok elektronik atau vape dipercayai mengandungi bahan terlarang (RM600).

“Suspek serta dadah yang dirampas telah dibawa ke Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.

“TDM turut menyeru mana-mana agensi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti lintas sempadan secara haram untuk menyalurkan maklumat kepada pasukan operasi agar aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibendung dengan lebih efektif,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan