WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPWKM Cadang Amaran Awal, Tindakan Lebih Tegas Terhadap Pesalah Berulang Keganasan Rumah Tangga

29/04/2026 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengemukakan usul kepada pihak berwajib bagi memperketat tindakan undang-undang dan mewujudkan mekanisme amaran awal terhadap pesalah berulang keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah rentas agensi perlu memandangkan KPWKM tidak mempunyai kuasa perundangan untuk merekodkan data pesalah berulang secara terbuka, namun mereka bersedia mengemukakan kertas cadangan bagi mempercepat proses keadilan dan memperkukuh penguatkuasaan.

“Kami akan tulis kertas cadangan atau usul kepada pihak yang berkenaan supaya perkara ini diambil kira dan tindakan. Ini antara perkara yang menjadi cabaran kepada kes-kes seperti ini.

“Kita mahu kes itu dipercepat dan dari segi penguatkuasaan, kita cari cara untuk mengetatkan serta menguatkan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media khas selepas menghadiri Mesyuarat Khas Penyelarasan Isu Kes Keganasan Rumah Tangga di sini hari ini.

Beliau berkata keperluan intervensi lebih tegas itu selari dengan peningkatan kes keganasan rumah tangga yang merekodkan 7,391 kes pada 2025 berbanding 7,116 kes (2024) dan 5,507 kes (2023).

Nancy berkata masih terdapat mangsa yang enggan tampil membuat laporan manakala sebahagiannya menarik balik laporan polis kerana takut selepas diugut pelaku selain bimbang kehilangan tempat bergantung berikutan tiada sumber pendapatan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa mangsa tampil mendapatkan bantuan melalui saluran yang disediakan termasuk Talian Kasih 15999 dan menegaskan kementerian mempunyai fasiliti perlindungan untuk membantu mangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan