WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Thomas: Malaysia Layak Ke Suku Akhir Sebagai Naib Juara Kumpulan

29/04/2026 10:14 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

HORSENS (Denmark), 29 April (Bernama) -- Malaysia menutup kempen Kumpulan B dengan kekalahan 2-3 kepada juara 2014, Jepun pada aksi Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, di sini hari ini.

Dalam aksi terakhir kumpulan yang menjadi penentu juara kumpulan, Malaysia melakukan rombakan taktikal apabila memisahkan gandingan beregu utama, juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Aaron digandingkan semula dengan Tee Kai Wun, pasangan yang pernah menghadiahkan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 buat Melaka, manakala Wooi Yik bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani, sekali gus mengulangi kombinasi singkat mereka pada edisi 2024 di Chengdu, China.

Bagaimanapun, langkah itu tidak membuahkan hasil apabila perseorangan pertama negara Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-25 dunia tumpas kepada pemain nombor sembilan dunia Kodai Naraoka 11-21, 15-21, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada Jepun.

Malaysia kembali menghidupkan peluang menerusi pasangan Aaron-Kai Wun yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan gandingan Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 16-21, 21-14, 21-19 dalam aksi penuh semangat.

Namun, kelebihan Jepun dalam acara perseorangan kembali menyerlah apabila pemain ranking kesembilan dunia, Yushi Tanaka mengekalkan dominasi ke atas Justin Hoh (ranking ke-44 dunia) dengan kemenangan 21-15, 21-12 dalam tempoh 39 minit, sekali gus meletakkan Jepun kembali di hadapan.

Harapan Malaysia untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan bagaimanapun berkecai apabila beregu kedua negara Nur Izzuddin-Wooi Yik tewas 14-21, 21-19, 19-21 kepada pasangan Takumi Nomura-Yuichi Shimogami yang berada di ranking ke-30 dunia.

Walaupun peluang untuk menjadi juara kumpulan sudah tertutup, perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tetap mempamerkan aksi baik apabila menghadiahkan mata kedua Malaysia dengan menewaskan Koki Watanabe 21-13, 21-19 dalam masa 41 minit.

Keputusan itu menyaksikan Jepun muncul juara Kumpulan B, sekali gus membalas dendam terhadap Malaysia selepas dua kekalahan pada edisi Bangkok 2022 dan Chengdu 2024.

Malaysia sebelum ini menewaskan England 3-2 dan Finland 4-1 untuk melangkah ke suku akhir. Undian peringkat kalah mati akan berlangsung esok pagi dengan saingan Piala Thomas 2026 dijadual berakhir pada 3 Mei.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan