WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Enam Kapal GSF 2.0 Dipintas Tentera Rejim Israel Libatkan 10 Rakyat Malaysia 

30/04/2026 02:47 PM

BANGI, 30 April (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN). 

Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata misi itu secara keseluruhannya melibatkan 63 kapal, namun 22 kapal sahaja dipintas, terputus hubungan dan diceroboh secara langsung melibatkan 186 aktivis.

“Kapal-kapal terlibat ialah Saf Saf, Arkham III, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros I, Esplai, Mystere, Magic Boat, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia dan Holy Blue,” katanya pada sidang media tergempar misi berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia (6 petang hingga 4 pagi waktu Greece), dengan kapal GSF 2.0 dihampiri secara agresif oleh kapal tentera rejim Zionis Israel (IOF) sewaktu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

“Kedudukan flotila ketika insiden intimidasi berlaku adalah kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di zon pelayaran antarabangsa yang sah dan dijamin sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS,” katanya.

Beliau berkata semasa kejadian, terdapat juga provokasi berlaku dengan pihak IOF melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi, selain melakukan gangguan frekuensi radio secara mengancam terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.

Selain itu, SNCC mengesahkan bahawa terdapat kehadiran puluhan dron tidak dikenal pasti yang dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotila semasa insiden berlaku, dipercayai melakukan pemantauan dan gangguan terhadap pergerakan serta komunikasi flotila.

“Rakaman audio dan visual yang diperoleh SNCC membuktikan pihak IOF menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan amaran tersebut, sedangkan baki flotila misi kekal berlayar di koridor perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol maritim,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan kapal yang lain, Sani Araby memaklumkan SNCC mengarahkan semua kapal yang belum dipintas untuk segera memasuki kawasan perairan Greece.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri penaung bagi memohon sokongan kerajaan khususnya dari sudut keselamatan dan urusan diplomatik bersama kerajaan Greece serta Turkiye.

Mengulas lanjut status terkini 10 rakyat Malaysia itu yang kali terakhir dapat dihubungi pada 8.30 pagi tadi, beliau berkata status mereka masih belum diketahui buat masa ini, dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaharu berhubung perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Sani Araby berkata pihaknya berharap untuk menerima maklumat lanjut perkara itu dalam masa terdekat kerana waktu tempatan di lokasi kejadian ketika ini masih terlalu awal.

“Pihak kami juga telah menjangka rejim Zionis akan membuat pemintasan terhadap GSF 2.0 kerana bimbang terhadap sokongan masyarakat dari seluruh dunia termasuk Malaysia terhadap usaha ini,” katanya.

Beliau berkata taktik pemintasan lebih awal kali ini berbeza jika dibandingkan dengan insiden penahanan dan penculikan pada Oktober 2025 yang dilakukan dalam kawasan 'Red Zone iaitu pada kedudukan 50 batu nautika dari Gaza, sekali gus menunjukkan rejim Zionis berada dalam keadaan terdesak.

Sementara itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu hati, selain mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan dan keselamatan kepada semua delegasi misi yang ditahan.

GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan