KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$126.61 bilion pada akhir Mac 2026, berbanding US$128.29 bilion pada akhir Februari 2026.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan aset mata wang asing lain berjumlah US$69.0 juta.
Menurut bank pusat, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$9.90 bilion.
"Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah US$23.20 bilion pada akhir Mac 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," tambah BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$3.01 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek luar jangka bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$846.4 juta.
"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," jelasnya.
Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Mac 2026 tetap boleh guna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial