KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- PT Bank CIMB Niaga Tbk mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 2.3 trilion rupiah bagi suku pertama 2026, bersamaan pendapatan sesaham 70.20 rupiah (RM1 = 4,366 rupiah).
Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Niaga, Lani Darmawan berkata pertumbuhan hasil kekal stabil, disokong pengurusan kos yang berdisiplin serta pertumbuhan pinjaman terpilih, dipacu asas akaun semasa dan simpanan (CASA) yang kukuh, dengan nisbah CASA sebanyak 73.9 peratus, sekali gus mengukuhkan keupayaan bank dalam mengekalkan margin.
Beliau berkata kualiti aset kekal kukuh dengan pinjaman tidak berbayar (NPL) berada di bawah purata industri, manakala kos kredit stabil di bawah satu peratus.
“Lebih penting, perniagaan pengurusan kekayaan kami semakin berkembang, meliputi pelanggan pilihan dan kekayaan persendirian, sekali gus menunjukkan daya tahan yang lebih kukuh, dengan purata aset di bawah pengurusan (AUM) bagi setiap pelanggan meningkat secara berterusan, mengukuhkan asas pendapatan kami yang pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, CIMB Niaga mengekalkan kedudukan modal yang sihat dengan nisbah kecukupan modal sebanyak 25.3 peratus serta nisbah pinjaman kepada deposit pada 89.2 peratus.
Jumlah aset disatukan mencecah 368.2 trilion rupiah setakat 31 Mac, 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan bank itu sebagai bank milik persendirian kedua terbesar di Indonesia.
Sementara itu, jumlah deposit meningkat kepada 260.1 trilion rupiah (naik 2.3 peratus tahun ke tahun), didorong pertumbuhan CASA sebanyak 12.2 peratus kepada 192.3 trilion rupiah, menjadikan nisbah CASA pada 73.9 peratus.
Jumlah pinjaman/pembiayaan pula meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 235.1 trilion rupiah, dengan pertumbuhan tertinggi disumbangkan oleh perbankan korporat sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun, diikuti segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak 1.2 peratus serta perbankan pengguna sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun.
“Peningkatan pinjaman runcit sebahagian besarnya didorong oleh pinjaman kenderaan yang berkembang empat peratus tahun ke tahun,” kata bank itu.
Dalam perbankan Islam, Unit Usaha Syariah CIMB Niaga mengekalkan kedudukannya sebagai unit syariah terbesar di Indonesia, dengan jumlah pembiayaan bernilai 52.9 trilion rupiah dan deposit sebanyak 45.0 trilion rupiah setakat 31 Mac, 2026.
Bagi prospek 2026, Lani berkata bank akan memberi keutamaan kepada pertumbuhan pendapatan berasaskan fi bagi melengkapkan pendapatan teras, di samping mempertahankan margin melalui asas CASA yang lebih kukuh serta disiplin pembiayaan.
“Pertumbuhan pinjaman akan dilaksanakan secara berhemat, manakala kualiti aset dan daya tahan portfolio kekal menjadi keutamaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial