WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAMA Raih Pingat Gangsa Anugerah Harta Intelek Negara 2026 Menerusi Malaysia's Best

01/05/2026 12:23 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju penjenamaan agromakanan negara, apabila berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori Juara Jenama Cap Dagangan pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali kepada Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri, pada majlis anugerah itu semalam.

Pencapaian itu hasil kejayaan FAMA dalam membangunkan dan memperkukuh penjenamaan Malaysia’s Best, iaitu satu pengiktirafan nasional kepada keluaran pertanian tempatan yang memenuhi standard kualiti dan keselamatan makanan, selaras piawaian domestik serta antarabangsa.

Abdul Rashid dalam kenyataan berkata pengiktirafan itu, membuktikan bahawa usaha strategik FAMA dalam memperkasakan penjenamaan produk agromakanan tempatan berada pada landasan yang tepat.

“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada FAMA, tetapi juga kepada seluruh rantaian pemain industri agromakanan negara termasuk petani, pengeluar dan usahawan yang komited memastikan produk Malaysia memenuhi standard kualiti tertinggi,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu juga mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkasakan rantaian nilai agromakanan negara melalui strategi penjenamaan berimpak tinggi, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani, pengeluar dan usahawan tempatan.

Abdul Rashid berkata penjenamaan Malaysia’s Best akan terus diperkasakan sebagai simbol kepercayaan dan kebolehpasaran global, sekali gus membuka lebih banyak peluang eksport serta meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.

Penjenamaan Malaysia’s Best yang diperkenalkan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), berfungsi sebagai simbol keyakinan pengguna terhadap produk agromakanan negara.

Ia merangkumi kawalan kualiti menyeluruh bermula daripada peringkat ladang, melalui pensijilan seperti myGAP sehingga ke proses penggredan, pembungkusan dan pelabelan (GPL) yang mematuhi Peraturan GPL FAMA.

Selain meningkatkan daya saing produk tempatan, penjenamaan itu turut menyumbang kepada peluasan pasaran eksport, termasuk komoditi bernilai tinggi seperti durian Musang King, nanas, nangka dan pelbagai hasil segar lain ke pasaran global seperti China, Eropah dan Timur Tengah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan