PAPAR, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri pada tahun ini bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai usaha juga telah dan sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan di negeri ini termasuk pembangunan jelapang padi di seluruh negeri terutamanya di Papar dan daerah sekitarnya seperti Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.
"Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri," katanya ketika berucap melancarkan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata komitmen tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan keterjaminan makanan kekal kukuh, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia pada hari ini.
"Kemajuan kita kecapi hari ini tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini," katanya sambil menyeru rakyat untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Hajiji berkata kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai lagi inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat, termasuk meneruskan bantuan sedia ada dalam aspek pendidikan, modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Ini bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang di seluruh negeri ini, agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran yang dikecapi,” katanya.
Mengenai pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran perayaan tersebut, beliau menyifatkan ia amat bertepatan kerana daerah itu terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi yang subur di negeri Sabah.
"Daerah Papar bukan sahaja kaya dengan hasilnya, tetapi juga kaya dengan nilai budaya dan semangat kekitaan masyarakatnya yang berbilang kaum, yang hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan," ujar beliau.
Beliau berkata Papar turut menampilkan perubahan yang amat membanggakan dengan beberapa projek pembangunan infrastruktur dan komersial yang telah dan sedang giat dilaksanakan, termasuklah di Benoni dan kawasan sekitar Kinarut.
Selepas projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, katanya, Papar juga berpotensi besar untuk muncul sebagai lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak.
Selain itu Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi projek pembinaan gelanggang futsal berbumbung dan lengkap dengan grandstan untuk daerah ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial