KOTA BHARU, 1 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku serta ikan, udang dan kura-kura hiasan yang disyaki diseludup dari negara jiran bernilai RM22,760 dalam operasi di pangkalan haram Lan Bundle di Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dilakukan anggota Strike Force/Tiger Platoon Batalion 9 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada 6.30 petang.
Beliau berkata ketika rondaan di Kampung Lubok Gong, anggota mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan plastik hitam dan kotak gabus dari sebuah perahu ke dalam kenderaan di tebing sungai.
“Bagaimanapun, semua individu terbabit melarikan diri ke arah negara jiran dengan menaiki perahu sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, manakala pemeriksaan ke atas Proton Wira yang ditinggalkan menemukan 234 kilogram makanan sejuk beku dan pelbagai haiwan akuatik dipercayai diseludup melalui laluan tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara yang dirampas ialah 120 ekor ikan rasbora, koi (20), killifish (60) dan nilem (45), selain udang pelbagai spesies serta 60 ekor kura-kura.
Ahmad Radzi berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes diserahkan kepada kastam cawangan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial