GEORGE TOWN, 2 Mei (Bernama) -- Lebih 1,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi peringkat Pulau Pinang yang berlangsung di Jalan Padang Kota Lama malam ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pengunjung tidak hanya terdiri daripada masyarakat Sikh tetapi meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing.
Beliau berkata edisi ke-22 sambutan rumah terbuka yang bermula pada 7 malam itu mencerminkan kehadiran berterusan komuniti Sikh di negeri berkenaan serta komitmen bersama terhadap keharmonian budaya dan saling menghormati.
“Sepanjang tempoh itu, saya berpeluang meluangkan masa bersama anggota komuniti Sikh di Pulau Pinang. Bagi saya, satu perkara yang sentiasa menonjol ialah betapa eratnya hubungan dalam komuniti ini, terutamanya dalam kalangan keluarga.
“Terdapat rasa tanggungjawab yang kuat antara satu sama lain bagi menghormati golongan tua, menjaga yang muda serta kesediaan untuk bersama-sama menghadapi saat senang dan sukar. Ini adalah sesuatu yang boleh kita pelajari,” katanya semasa berucap pada sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi peringkat Pulau Pinang di sini malam ini.
Sambutan anjuran Wadda Gurdwara Sahib Pulau Pinang dengan kerjasama kerajaan negeri itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Chow berkata Pulau Pinang sentiasa berjaya kerana rakyatnya memilih untuk bekerjasama, saling menghormati dan bergerak ke hadapan sebagai satu kumpulan.
“Jadi, pada hari ini, ketika kita meraikan Vaisakhi marilah kita membawa pulang lebih daripada sekadar kegembiraan, marilah kita hayati makna di sebaliknya, iaitu perpaduan, ketahanan dan pembaharuan,” katanya.
Vaisakhi adalah satu perayaan utama dalam kalendar Sikh, iaitu memperingati penubuhan Khalsa pada 1699 dan ia juga menandakan permulaan musim menuai mengikut kalendar masyarakat Punjabi dan Sikh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial