KOTA KINABALU, 2 Mei (Bernama) -- Sabah FC berpesta gol apabila menewaskan PDRM FC 5-1 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah di sini malam ini.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan seawal minit ke-17 menerusi Fergus Tierney, sekali gus menggembirakan penyokong yang hadir memberikan sokongan.
Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad Sang Badak apabila Kervens Fils Belfort menggandakan jaringan pada minit ke-41, sebelum Duje Ljubic menutup babak pertama menerusi gol pada masa kecederaan untuk Sabah mendahului 3-0.
Bersambung pada babak kedua, PDRM FC memperkemaskan rentak permainan dengan memberikan tekanan kepada benteng pertahanan pasukan tuan rumah.
Usaha itu membuahkan hasil apabila pasukan pelawat berjaya memperoleh gol menerusi Mohamad Aiman Sufi Radzai pada minit ke-51.
Sabah bagaimanapun kembali melebarkan jurang gol enam minit kemudian menerusi Darren Lok.
Fergus Tierney melengkapkan malam gemilang Sabah dengan jaringan pada penghujung perlawanan, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya 5-1 ke atas PDRM FC.
Di Iskandar Puteri, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut berpesta gol apabila membelasah Kuala Lumpur (KL) City FC 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kenduri gol skuad Harimau Selatan bermula pada minit ke-17 menerusi jaringan Ager Aketxe Barrutia yang menyempurnakan sepakan penalti.
Tuan rumah kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-34 menerusi sepakan leret Oscar Aribas selepas menerima hantaran Matthew Davies dalam kotak penalti.
KL City FC yang bergelut sepanjang separuh masa pertama hampir merapatkan jurang menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri pada minit ke-43, namun sepakan itu tersasar tinggi.
Bersambung babak kedua, pasukan pelawat terus dihimpit tekanan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah pada minit ke-51 kerana menjatuhkan Aribas.
JDT memanfaatkan kelebihan itu dengan melancarkan serangan bertali arus untuk membolehkan Stuart Wilkin menjaringkan gol ketiga pada minit ke-72 hasil hantaran Yago da Silva, sebelum Alberto Martin menambah jaringan keempat empat minit kemudian.
Ajdin Mujagic meledakkan gol kelima pada minit ke-82, diikuti tandukan Eddy Silvestre Pascual Israfilov bagi gol keenam hasil sepakan sudut Yago.
Manuel Federico Hidalgo Gasparini pula melengkapkan kemenangan bergaya dengan menjaringkan gol ketujuh pada masa kecederaan.
Di Petaling Jaya, Selangor kembali merampas kedudukan kedua liga selepas menumbangkan Penang FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Skuad Gergasi Merah bermula garang apabila berjaya mencipta tiga gol pada babak pertama menerusi jaringan Chrihor Moraes pada minit ke-11, Hugo Boumous (ke-15) dan Harith Haiqal Adam Afkar (ke-21).
Memasuki babak kedua, Alvin Fortes berjaya menjaringkan gol pada minit ke-62, sekali gus menyaksikan Selangor berjaya mencatat kemenangan 4-0.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial