WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PuTERA35 Jamin Keadilan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera - PM Anwar

03/05/2026 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) merupakan dasar negara yang menjamin keadilan dalam pemerkasaan ekonomi Bumiputera, sekali gus memastikan golongan itu mampu bersaing secara adil dalam landskap ekonomi nasional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata PuTERA35 bukan sekadar satu pengumuman dasar, tetapi komitmen menyeluruh kerajaan untuk menterjemahkan agenda pemerkasaan Bumiputera secara praktikal dan berkesan di semua peringkat pelaksanaan.

“Sebab itu bagi kita, agenda Bumiputera (merupakan) agenda nasional (yang) sangat penting (untuk) kita pertahankan tanpa tolak ansur. Jadi itu bagi saya PuTERA35 menjamin keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di sini hari ini.

Dilancarkan pada 19 Ogos, 2024, PuTERA35 merupakan pelan komprehensif kerajaan bertujuan memperkasa ekonomi Bumiputera melalui 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu.

Pelan strategik 10 tahun (2024-2035) tersebut menyasarkan peningkatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera ke tahap lebih tinggi serta sejajar dengan Ekonomi MADANI.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan serta teguran daripada pelbagai pihak, khususnya dalam mengenal pasti kelemahan dasar seperti dalam sektor perumahan yang perlu diperbaiki segera.

Anwar menegaskan bahawa agenda Bumiputera harus terus dipertahankan sebagai agenda nasional demi memastikan kesejahteraan lebih seimbang dan inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata perbincangan ekonomi sering kali tertumpu kepada kelompok elit tanpa mengambil kira nasib masyarakat bawahan termasuk Bumiputera dan Orang Asli yang masih ketinggalan.

Dalam memperincikan pelaksanaan PuTERA35, Anwar berkata institusi pelaburan berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP),  Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji telah diberi mandat memperkasa Bumiputera, termasuk melalui inisiatif pembangunan bakat dan keusahawanan.

“Sebanyak RM30 bilion diperuntukkan bagi tahun 2026, dengan RM11 bilion telah disalurkan tahun lalu, melibatkan sektor strategik seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan teknologi hijau,” katanya.

Anwar turut mengingatkan pemimpin agar menggunakan peluang ketika memegang kuasa untuk melaksanakan perubahan, dan bukannya sekadar mengkritik selepas tidak lagi berada dalam kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan