KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menzahirkan komitmen agensi berita itu dalam membantu keluarga Allahyarham Muhamad Razali Nordin.
Beliau yang ditemui ketika menyantuni balu jurugambar Bernama Biro Sarawak, Ratnawaty Abdul Hai di kediamannya di Taman Sukma, Petra Jaya hari ini berkata antara perkara yang dilaksanakan seperti menyediakan pelbagai bentuk sokongan kebajikan dan mempercepat urusan berkaitan.
“Selain menyampaikan ucapan takziah, kami turut menyampaikan insurans hayat berkelompok, bayaran gantian cuti rehat (GCR) dan juga perkhidmatan kepada arwah.
“Pada masa sama juga memaklumkan kepada Ratna tentang urusan Bernama untuk mempercepat pembayaran pencen untuk Ratna (balu), “ katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Muhamad Razali meninggal dunia pada usia 54 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS), 26 April lepas.
Hadir sama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersial Bernama Mastura Hassan dan Pengurus Pemasaran Foto Fariz Rizal Mardzri.
Sementara itu, Nur-ul Afida turut berkongsi mengenai keperibadian Muhamad Razali yang disifatkan sebagai seorang pekerja yang berdedikasi tinggi selain amat disenangi ramai.
“Seperti saya katakan sebelum ini, arwah Razali seorang petugas yang sangat berdedikasi. Saya kenal dia daripada bujang hingga dah berumahtangga. Pemergiannya amat mengejutkan kami semua,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihak pengurusan BERNAMA turut berharap agar Ratnawaty dan keluarga diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan ini.
“Kami berharap balu arwah tabah menghadapi ujian ini. Pihak kami akan terus membantu sekiranya terdapat sebarang keperluan,” katanya.
Allahyarham Muhamad Razali yang berasal dari Batu Gajah, Perak dikenali sebagai seorang yang komited dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh tiga dekad perkhidmatannya di Bernama.
Sementara itu, Ratnawaty turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Bernama atas keprihatinan terhadap kebajikan suaminya, terutamanya sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.
“Saya terharu dengan sumbangan dan perhatian diberikan terutamanya terhadap suami saya yang telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Bernama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial