WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Op Syahbandar: LHDN Gerak Lebih 2,000 Pegawai Di Seluruh Negara Laksana Semakan Pematuhan

04/05/2026 06:56 PM

MELAKA, 4 Mei (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggerakkan 2,195 pegawainya di seluruh negara bagi melaksanakan tindakan semakan pematuhan melibatkan 1,300 kes dikenal pasti, menerusi 'Op Syahbandar' yang diadakan selama lima hari bermula hari ini.

LHDN dalam kenyataan memaklumkan Operasi Pematuhan Cukai Peringkat Nasional 2026 itu adalah langkah memperkukuh pematuhan cukai serta membanteras ketirisan hasil negara.

"LHDN Melaka bertindak sebagai tuan rumah bagi pelancaran operasi bersepadu tersebut yang memberi tumpuan kepada aktiviti audit melibatkan cukai syarikat, cukai selain syarikat serta cukai majikan.

"Selaras dengan perkembangan ekonomi digital dan landskap perniagaan semasa, industri pembuatan dikenal pasti sebagai fokus utama 'Op Syahbandar' pada tahun ini," menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan antara pembayar cukai diberikan perhatian dalam operasi itu ialah syarikat yang melaporkan pendapatan lebih rendah daripada margin industri, syarikat belum pernah diaudit, syarikat dikenal pasti mempunyai risiko dalam tuntutan insentif cukai dan syarikat terlibat dalam transaksi harga pindahan dengan pihak berkaitan di luar negara.

Majlis pelancaran dan sesi flag-off operasi itu yang berlangsung di Menara LHDN Melaka disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN (Pematuhan) Shaharrudy Othman dan turut dihadiri Pengarah LHDN Melaka Datuk Mohd Shahriz Ramli.

Dalam kenyataan sama, Shaharrudy ketika berucap pada majlis pelancaran 'Op Syahbandar' berkata operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan LHDN dalam memastikan setiap pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab percukaian secara adil dan saksama.

"LHDN akan terus memperkukuh usaha pematuhan secara strategik bagi memastikan kutipan hasil negara kekal mampan, di samping mengekang ketirisan hasil demi kepentingan negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata pelaksanaan 'Op Syahbandar' itu diharap dapat memberi impak positif melalui pendekatan bersepadu LHDN dalam memperkukuh tindakan pematuhan yang lebih berkesan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan