WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wanita Warga Emas Maut Ditetak Di Ipoh

05/05/2026 01:19 PM

IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut akibat ditetak di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata wanita berusia 70 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku antara 4.45 petang hingga 10 malam, iaitu kali terakhir mangsa keluar rumah sehingga ditemukan dibunuh, dan anak mangsa menghubungi polis kira-kira 10 malam.

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.

"Seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun yang juga jiran kepada mangsa telah ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Suspek pernah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lepas untuk menjalani rawatan psikiatri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Najib berkata pihaknya turut menemukan sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Motif kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Muhammad Najib turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerusi talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Muhammad Najib berkata suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga Sabtu.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Evangelin Simon Silvaraj selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata proses bedah siasat mangsa belum selesai dan masih dalam tindakan pihak forensik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan