WILAYAH - UTARA > BERITA

Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Miliki 556.5 Liter Diesel Tanpa Lesen

05/05/2026 12:02 PM

BUTTERWORTH, 5 Mei (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 556.5 liter minyak diesel tanpa lesen, bulan lepas. 

Heah Ban How, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 556.5 liter dalam tangki bahan api yang diubah suai pada motolori jenama Hino di SS Petroleum Sdn Bhd, Lot 1243, Jalan Besar, Chong Nam Estate Valdor, Sungai Bakap pada lebih kurang 2 petang, 29 April lepas. 

Heah didakwa mengikut seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya di bawah seksyen 22(1) Akta yang sama jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Alsad Nasrullah.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan yang minimum dengan alasan kini tidak bekerja dan perlu menjaga ibunya yang berusia 70 tahun. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi lantikan peguam serta laporan kimia.

--BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan