WILAYAH - SARAWAK > BERITA

514 Jemaah Tangguh Tawaran Haji Saat Akhir, Kuota Malaysia Kekal Penuh

05/05/2026 12:20 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 5 Mei (Bernama) -- Sebanyak 514 bakal jemaah haji Malaysia menangguhkan tawaran pada saat akhir bagi musim ini atas pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata antara sebab utama termasuk masalah kesihatan, kematian, kemalangan serta situasi tertentu seperti tempoh idah yang menghalang jemaah daripada meneruskan ibadah itu. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif dengan menggantikan kekosongan melalui senarai menunggu, dan berjaya memenuhi kuota.

“Kita cuba gantikan tempat yang ditangguhkan selagi sistem dibuka termasuk mereka yang telah membuat pemeriksaan kesihatan dan bersedia untuk berlepas dalam tempoh singkat.

“Usaha ini penting bagi memastikan setiap kuota yang diperuntukkan kepada Malaysia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan jemaah supaya menjaga dokumen penting termasuk Kad Nusuk, susulan enam kes kehilangan dilaporkan setakat ini.

“Nasihat kepada semua jemaah supaya sentiasa berhati-hati dengan kad yang telah diberikan dan kalau boleh sentiasa dipakai di leher.

"Jika hilang, jangan panik kerana masih boleh menggunakan aplikasi Nusuk sebagai alternatif digital,” katanya.

Mohd Hisham berkata pihaknya akan membantu jemaah mendapatkan kad gantian dengan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi serta melakukan semakan di pusat barang-barang ditinggal dan dijumpai (lost and found).

Beliau turut menggalakkan jemaah untuk memuat turun aplikasi Nusuk sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan.

“Walaupun kad fizikal penting, versi digital dalam aplikasi Nusuk masih boleh digunakan untuk tujuan pengesahan di pusat pemeriksaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan