IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di kawasan landasan kereta api Kilometer 181.9 berhampiran Jalan Tun Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada 4.30 petang oleh polis bantuan KTMB bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Pihak polis turut merampas satu beg plastik mengandungi tiga gulung kabel disyaki milik KTMB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif terhadap dadah jenis methamphetamine dan dia juga memiliki tujuh rekod pelbagai kes jenayah serta 15 rekod dadah.
Lelaki itu kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 66 Akta Keretapi 1991.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial