WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Tujuh Suspek Terbabit Kes Samun Berkumpulan, Curi Kabel Di Teluk Intan

06/05/2026 01:01 PM

TELUK INTAN, 6 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menahan tujuh lelaki tempatan dipercayai terbabit dengan kejadian samun sehingga menyebabkan kematian dan kecurian kabel dalam kejadian di sekitar Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar daerah Teluk Intan dan Bentong, Pahang.

Beliau berkata tiga daripada tujuh suspek yang ditahan dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah dan enam kes kecurian kabel di sekitar Teluk Intan yang mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM200,000.

"Polis merampas tiga buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Axia dan Bezza serta sebuah motosikal jenis Honda EX5 selain dua bilah parang, barangan kemas dan peralatan mencuri kabel," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, hari ini.

Chua berkata hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai kes jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan penyalahgunaan dadah serta hasil ujian air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun yang sama bagi kes bunuh dan pecah rumah manakala Seksyen 379 kanun yang sama bagi kes kecurian kabel.

"Kertas siasatan kini di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya," katanya.

Dalam kejadian pada 17 April lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas maut akibat dilibas dengan senjata tajam dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru, di sini.

Chua berkata mangsa berusia 69 tahun itu mengalami kecederaan parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan