WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Gagalkan Penyelewengan Diesel Di Labuan

06/05/2026 05:17 PM

LABUAN, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas diesel dan sejumlah barangan disyaki berkaitan aktiviti penyelewengan bahan api itu bernilai RM83,806 dalam dua serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 di sini hari ini.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata dalam kes pertama, pasukan penguat kuasa menahan seorang lelaki berusia 26 tahun berhampiran Warehouse Saguking di Jalan Tuanku Sharif Kedah selepas memeriksa sebuah kenderaan pikap.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan lima tong berisi cecair dipercayai kira-kira 1,000 liter diesel berserta peralatan termasuk hos dan pam elektrik kesemuanya dianggar bernilai RM53,720.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lelaki itu gagal mengemukakan permit atau kelulusan daripada Pengawal Bekalan bagi pemilikan diesel itu untuk kegunaan di sini," katanya kepada Bernama hari ini.

 Junaidah berkata dalam kes kedua, pihaknya mengesan aktiviti penyelewengan di sebuah stesen minyak dengan melibatkan seorang lelaki yang memandu sebuah van milik sebuah syarikat perindustrian di sini.

Menurutnya, lelaki berusia 39 tahun itu disyaki sedang mengisi diesel ke dalam bekas berkapasiti 20 liter, namun pegawai penguat kuasa mempercayai aktiviti itu telah dilakukan berulang kali, dengan diesel yang dikumpulkan telah disimpan dalam van itu.

“Lelaki itu juga gagal mengemukakan permit khas apabila diminta pasukan penguat kuasa. Keseluruhan rampasan dalam kes ini bernilai RM30,086,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan