KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyambut baik pengumuman kerajaan yang menamakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV selaku penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.
Presiden SAM Norismadi Abd Manap menyifatkan perkembangan itu sebagai penamat kepada kegusaran peminat bola sepak tempatan sebelum ini yang mahu menonton perlawanan berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.
“Perkembangan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada peminat, malah membuktikan kerajaan peka terhadap kegusaran yang disuarakan sebelum ini.
“Saya merakamkan penghargaan atas usaha Kementerian Komunikasi yang sangat bermakna ini kerana ia jelas memahami denyut nadi rakyat, khususnya peminat bola sepak, untuk bersama-sama merasai keterujaan Piala Dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kebimbangan peminat terhadap kemungkinan terlepas aksi perlawanan pada Jun dan Julai itu kini terubat, sekali gus membolehkan mereka kembali teruja menantikan aksi berkenaan.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi menjamin penyiaran berkualiti tinggi serta capaian meluas kepada penonton di seluruh negara.
Amerika Syarikat (AS) menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada, dengan aksi pembukaan berlangsung di Mexico City (Mexico) pada 11 Jun ini, manakala acara final dijadual berlangsung di New Jersey (AS) pada 19 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial