WILAYAH - SELATAN > BERITA

Murid Terjatuh Daripada Bumbung Garaj Basikal, Tiada Unsur Buli - Polis

08/05/2026 10:26 AM

MELAKA, 8 Mei (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian membabitkan seorang murid lelaki Tahun Lima yang cedera selepas terjatuh daripada bumbung garaj basikal di sebuah sekolah rendah di Batu Berendam, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam, yang berlaku kira-kira 12.40 tengah hari ketika waktu pertukaran kelas.

"Siasatan awal mendapati murid berkenaan dipercayai bertindak membaling kasut seorang pelajar lain sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sebelum cuba mengambilnya semula dengan memanjat bumbung berkenaan.

“Semasa cuba memanjat semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak patah menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah dan mengalami kecederaan pada kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata mangsa diberikan bantuan kecemasan oleh pihak sekolah sebelum dihantar ke Hospital Melaka dan kemudian dipindahkan ke sebuah hospital swasta di negeri ini untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan bersama pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan sendiri.

“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian sebelum atau semasa kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan.

Beliau berkata kes itudisiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan