JOHOR BAHRU, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat menjadikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertaraf antarabangsa melalui pemerkasaan integriti, tatakelola serta kesiapsiagaan aset.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu tidak mustahil dicapai berdasarkan kejayaan dan prestasi JBPM kebelakangan ini, antaranya memperoleh Anugerah Emas Anugerah Integriti Governans dan Antirasuah Sektor Awam pada 2024.
“Ini satu pengiktirafan yang membuktikan anggota bomba tidak hanya cekap menjalankan tugas malah menjunjung nilai amanah dan tatakelola yang tinggi.
“Saya yakin dengan semangat diperbaharui 2026 menjadikan pasukan bomba pusat kecemerlangan perkhidmatan awam negara kita. Sebanyak 15,000 anggota bomba akan menjadi teladan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bomba Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Nga berkata pencapaian JBPM turut terserlah apabila berjaya mencapai purata masa tindak balas kebangsaan sebanyak 8.45 minit pada tahun lepas, melepasi sasaran 10 minit.
Dalam pada itu, Nga berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi memastikan bomba sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
Beliau berkata bomba turut menerima 30 jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu menerusi perolehan RM60 juta hasil kerjasama pintar Malaysia dan China baru-baru ini.
Terdahulu, dalam ucapannya Nga berkata RM5 juta diperuntukkan bagi pengurusan kebakaran dan lemas serta RM2.2 bilion untuk penambahbaikan kemudahan perumahan penjawat awam termasuk RM10 juta untuk pembaikan kuarters bomba di seluruh negara dalam Belanjawan 2026.
“Sebanyak RM437.2 juta telah diluluskan oleh kerajaan dalam permohonan projek baharu JBPM dalam RMK13 bagi Rolling Plan pertama tahun ini,” katanya.
Projek itu turut meliputi perolehan 6,000 pasang Fire Resistant Suit yang kini pada fasa akhir proses tender selain pembaikan kuarters dan balai bomba di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial