WILAYAH - TENGAH > BERITA

Usaha HAWANA Martabat Seni Pantun Wajar Diperluas

09/05/2026 03:08 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 yang berlangsung di Kompleks Kraf di sini hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai lapisan umur, yang melihat program itu sebagai platform penting untuk memartabatkan semula seni pantun sebagai warisan budaya bangsa.

Suasana meriah yang menghimpunkan pengamal media, pencinta bahasa dan golongan muda membuktikan seni tradisional itu masih relevan serta mampu menarik perhatian masyarakat meskipun dalam era digital yang serba moden.

Rata-rata pengunjung turut memuji inisiatif penganjuran program berteraskan budaya dan bahasa Melayu, yang dilihat berjaya membawa kelainan dalam pengisian program sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Penerbit Rancangan RTM Noriza Ismail berkata program seumpama itu wajar diteruskan dan diperluas supaya seni pantun tidak hilang ditelan zaman.

“Melalui pantun, cara berfikir dan budi pekerti masyarakat Melayu dapat ditonjolkan, sekali gus menjadi medium yang sangat baik untuk mendidik masyarakat supaya lebih beradab dan bertamadun.

“Sekarang ini generasi muda terlalu terdedah kepada dunia digital, jadi kita tidak boleh biarkan mereka leka tanpa asas bahasa yang kuat dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program itu.

Noriza yang meminati pantun sejak zaman persekolahan berkata beliau hadir bagi memberikan sokongan kepada rakan-rakannya yang menyertai pertandingan berkenaan.

Pegawai Berita Bernama Rosemarie Khoo Mohd Sani pula berpendapat pendekatan mengangkat semula seni pantun perlu dilakukan secara lebih kreatif dan segar agar terus dekat dengan jiwa generasi muda.

Beliau berkata pantun juga berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan budaya, terutama menerusi aktiviti berbalas pantun secara spontan yang mampu memberikan pengalaman unik kepada pelancong asing.

“Program seperti ini perlu diperbanyak kerana pantun sebenarnya sangat indah jika kita benar-benar menghayati maksud dan kehalusan bahasanya.

“Pemilihan lokasi di Kompleks Kraf juga sangat tepat kerana selain memartabatkan warisan budaya, ia secara tidak langsung membantu mempromosikan produk kraf tempatan kepada pengunjung,” katanya.

Bagi pengunjung muda, Muhamad Adif Zulhilmi Azman, 18, media sosial seperti TikTok dan Instagram boleh dimanfaatkan untuk menarik minat generasi muda terhadap seni pantun.

“Jika pantun dibawa ke media sosial dengan cara yang lebih segar dan kreatif, saya percaya lebih ramai anak muda akan mula berminat. Pantun sebenarnya tidak ketinggalan zaman, cuma cara penyampaiannya perlu berubah supaya lebih dekat dengan jiwa generasi sekarang,” katanya.

Dia yang pada asalnya mengunjungi Kompleks Kraf untuk melihat pameran kraf tangan, mengakui tertarik untuk mengikuti pesta pantun berkenaan selepas melihat suasana pertandingan dan persembahan para peserta.

“Saya jarang dapat lihat persembahan pantun secara langsung seperti ini. Bagi saya, pantun sangat unik kerana kita bukan sekadar dengar rima, tetapi perlu memahami maksud tersirat di sebalik setiap bait yang disampaikan,” katanya.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah antara pengisian awal menuju sambutan kemuncak HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan