KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) memeterai memorandum persefahaman (MOU) baharu bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua bank pusat itu.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan MOU berkenaan menyediakan platform komprehensif untuk memandu kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan perbankan pusat.
Ia termasuk dasar monetari, kestabilan kewangan dan dasar kehematan makro, sistem pembayaran dan pendigitalan, pembangunan sektor kewangan, inisiatif pembangunan keupayaan, perkongsian maklumat dan bidang lain.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata MOU itu meneguhkan lagi hubungan kerjasama yang berterusan antara BNM dan BI.
"MOU ini turut menekankan komitmen bersama kami untuk memperdalam kerjasama dalam bidang perbankan pusat yang sedia ada, dan pada masa yang sama memperluas kerjasama dalam bidang kepentingan bersama yang baharu," katanya.
Sementara itu, Gabenor BI Perry Warjiyo berkata MOU tersebut meneguhkan lagi hubungan kerjasama yang berterusan antara BI dan BNM, dan bukan sekadar komitmen simbolik.
"Ia mencerminkan semangat yang berkekalan untuk memperkukuh hubungan institusi dan memperdalam kerjasama dua hala antara dua bank pusat ini, khususnya dalam persekitaran geopolitik semasa yang mencabar," kata beliau.
Menurut kenyataan itu lagi, pemeteraian MOU ini membuka lembaran baharu ke arah kerjasama yang lebih kukuh dan bersepadu antara BNM dengan BI.
Kedua-dua bank pusat mengalu-alukan kerjasama berterusan ini dalam bidang-bidang yang dipersetujui bersama demi ekonomi kedua-dua negara yang lebih sejahtera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial