WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Monsun Barat Daya Bermula 14 Mei, Taburan Hujan Lebih Rendah - MetMalaysia

11/05/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei dan berterusan sehingga September ini, susulan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara. 

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang tempoh itu, kadar kelembapan udara yang rendah lazimnya akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan negara menerima taburan hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding hari hujan.

“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai.

“Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut Cina Selatan sebelum bergerak ke kawasan daratan akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Mohd Hisham berkata ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu pada Julai hingga September,  fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan juga boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu, selain menggalakkan penggunaan air secara berhemat sepanjang musim berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan