WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aminuddin Mulakan Tugas Ketua Setiausaha KPT Hari Ini

11/05/2026 06:24 PM

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baharu Datuk Dr Aminuddin Hassim memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Dr Anesee Ibrahim yang bersara wajib pada 9 Mei lepas, selepas menamatkan khidmat bakti dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.

Menurut kenyataan KPT hari ini, Aminuddin tiba di ruang legar kementerian itu disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Ahmad Rizal Adnan yang turut memulakan tugas pada hari sama, bersama-sama barisan pengurusan tertinggi kementerian.

“Beliau kemudiannya mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya selaku peneraju pentadbiran KPT,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Aminuddin berkhidmat sebagai KSU Kementerian Pendidikan sekali gus membawa pengalaman luas dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara dari pendidikan asas hingga peringkat pendidikan tinggi.

“Pengalaman tersebut amat signifikan dalam memastikan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang dilahirkan lebih berkualiti, kompetitif dan memenuhi aspirasi pembangunan negara.

“Selain itu, pengalaman beliau menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan kelebihan besar dalam merangka hala tuju penyelidikan dan pembangunan universiti serta memperkukuh ekosistem inovasi negara,” menurut KPT.

KPT memaklumkan Aminuddin juga pernah menjawat jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan rentas sektor yang luas dan berimpak tinggi.

Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994, beliau pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Dari sudut akademik, Aminuddin memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari York University, United Kingdom dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Economics and Environmental Management ) selain Ijazah Sarjana dari University of Warwick serta Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England, United Kingdom.

“Gabungan pengalaman dalam pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035,” menurut kenyataan itu.

KPT optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing IPT Malaysia di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan