WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Keputusan Tiada Sambutan Hari Guru Selaras Seruan Kerajaan Untuk Berjimat - JAIS

12/05/2026 10:51 AM

SHAH ALAM, 12 Mei (Bernama) -- Ketetapan untuk tidak membenarkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi institusi di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dibuat selaras dengan saranan kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan susulan krisis bekalan global.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata perkara itu juga selari dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk berbelanja dengan berhemat dan mengikut keperluan dalam mendepani ketidaktentuan situasi global. 

“JAIS juga membuat keputusan ini berikutan kesan kepada ibu bapa atau penjaga yang terbeban dengan penyediaan hadiah kepada guru atas permintaan anak-anak.

“JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya dalam kenyataan. 

Mohd Shahzihan berkata JAIS akan mempertimbangkan untuk membenarkan semula sambutan Hari Guru diadakan apabila keadaan kembali reda dengan menilai beberapa perkara termasuk memastikan masa sambutan tidak mengganggu jadual dan proses pembelajaran dalam kelas serta menyediakan tentatif yang ringkas untuk diguna pakai oleh semua sekolah di bawah seliaan JAIS. 

Beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS sentiasa menghargai jasa serta sumbangan guru dalam mendidik pelajar. 

“Sebagai pengiktirafan besar kepada para guru, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei 2026.

“Majlis yang diadakan bagi mengiktiraf sumbangan guru dan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000 daripada peruntukan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor itu akan diberikan kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang yang dipilih dalam bentuk tunai atau geran,” katanya. 

Sebelum ini, tular di media sosial surat edaran bertajuk “ketetapan untuk tidak melaksanakan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah” yang dikeluarkan JAIS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan