KUANTAN, 12 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang eksekutif kanan binaan sebuah agensi kerajaan, kerana terbabit kegiatan rasuah bernilai kira-kira RM8,000.
Menurut sumber lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu, ditahan kira-kira jam 4 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang.
“Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan membantu sebuah syarikat binaan dan sebuah syarikat kontraktor untuk mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan perakuan siap kerja serta mempercepat tuntutan pembayaran.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada syarikat-syarikat tersebut melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” kata sumber itu lagi.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 18 Mei terhadap suspek, telah dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial