KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd sedang berusaha memudahkan akses kepada Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Khairul Kamarudin berkata bank itu memahami cabaran besar yang terpaksa dihadapi PKS ketika ini dan terus komited untuk membantu perniagaan melalui penyelesaian kewangan yang praktikal dan patuh Syariah.
“Di Bank Muamalat, keutamaan kami adalah untuk sentiasa membantu pelanggan kami dengan penyelesaian praktikal dan patuh Syariah yang menyokong keperluan segera mereka sambil memperkukuh daya tahan bagi tempoh jangka panjang.
“Kami amat menggalakkan PKS yang mungkin terjejas untuk menghubungi kami lebih awal supaya kami dapat bekerjasama untuk mengenal pasti sokongan yang paling sesuai bagi kesinambungan dan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
SME SRF yang baru diperkenalkan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan RM5 bilion oleh BNM bertujuan untuk menyokong PKS berdaya maju yang terjejas akibat ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.
Menurut Bank Muamalat, kemudahan itu mencerminkan usaha industri yang diselaraskan untuk membantu perniagaan kekal berdaya tahan dan terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi.
Menerusi SME SRF, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun.
Pembiayaan itu akan disokong oleh jaminan hingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perniagaan yang terjejas.
Selain kemudahan tersebut, Bank Muamalat memaklumkan ia terus membantu PKS melalui bantuan penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman, pengaturan pembayaran balik yang fleksibel, khidmat nasihat peribadi dan penyelesaian pembiayaan patuh Syariah bagi membantu perniagaan menguruskan tekanan aliran tunai dan mengekalkan operasi.
Permohonan bagi kemudahan SME SRF dibuka kepada peminjam PKS yang layak mulai 15 Mei hingga 31 Disember 2026, atau sehingga dana yang diperuntukkan digunakan sepenuhnya.
Bagi maklumat lanjut mengenai SME SRF, sila hantarkan pertanyaan ke commercial.sale.management@muamalat.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial