LUMUT, 12 Mei (Bernama) -- Sebanyak 23 pendatang tanpa izin ditahan pihak berkuasa selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh kira-kira 2.35 petang.
Beliau berkata kesemua yang ditahan melibatkan 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.
“Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasbullah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan 37 pendatang tanpa izin dipercayai berada di atas bot tersebut, dengan 23 daripadanya berjaya diselamatkan semalam.
Terdahulu, Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata Pasukan Polis Marin (PPM) menemukan empat mayat mangsa kira-kira 2 petang tadi yang juga hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kesemua warga asing itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial