KUANTAN, 13 Mei (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes curi di dalam premis membabitkan sebuah kedai emas di Jerantut pada 28 April lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Arshad Ayob berkata kedua-dua suspek masing-masing berumur 23 dan 63 tahun itu ditahan di Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit, Kuala Lumpur, kira-kira 4 petang pada Isnin lepas.
“Pihak polis telah berjaya merampas gelang emas dan cincin pelbagai saiz yang dilaporkan dicuri sebelum ini dianggarkan bernilai RM26,000 mengikut harga pasaran. Turut dirampas sebuah motosikal, telefon bimbit, kad bank dan pakaian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.
Pada 1 Mei lepas, media melaporkan polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes melarikan barang kemas bernilai hampir RM26,000 di sebuah kedai emas di Jerantut.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, suspek didakwa memasuki premis berkenaan dengan berpura-pura ingin membeli cincin pertunangan sebelum melarikan beberapa barangan kemas yang dipamerkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial