WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lawatan Agong Ke Moscow Berpotensi Lonjak Sektor Pelancongan, Minyak - Pakar

13/05/2026 08:43 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Moscow, Rusia baru-baru ini dilihat berpotensi menjana manfaat dalam sektor pelancongan, kerjasama berkaitan minyak serta hubungan pendidikan antara kedua-dua negara, kata pakar dasar serantau.

Pengerusi Kelab Ekonomi ASEAN, Tan Sri Michael Yeoh berkata lawatan baginda turut dilihat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali dari segi pendirian dasar luar.

Beliau berkata sejak sekian lama, warga Malaysia mengikuti pengajian perubatan di Rusia dan pertukaran pendidikan sedemikian dijangka berterusan, malah pada masa sama, menggalakkan lebih ramai penuntut Rusia belajar di Malaysia.

“Beberapa tahun sebelum COVID-19 melanda, ramai pelancong Rusia berkunjung ke Langkawi. Bagaimanapun, selepas pandemik, mereka berhenti melancong, jadi kita perlu menarik mereka kembali,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV untuk mengupas tajuk “Malaysia in a Divided World” hari ini.

Lawatan Seri Paduka Baginda itu merupakan yang ketiga sejak menaiki takhta.

Sultan Ibrahim turut yakin lawatan berkenaan akan menjadi pemangkin baharu kepada pengukuhan kerjasama strategik yang telah dibina selama enam dekad antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.

Lawatan ke Moscow dari 6 hingga 10 Mei, 2026 itu adalah atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, pada 9 Mei.

Jemputan khas dibuat Presiden Rusia Vladimir V. Putin kepada Seri Paduka Baginda itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi kerajaan Rusia terhadap Malaysia, dan kali pertama seorang Ketua Negara Malaysia menghadiri sambutan itu.

Sultan Ibrahim turut berkenan menyaksikan perarakan ketenteraan di Red Square bersama-sama Presiden Putin serta beberapa pemimpin dunia lain termasuk Presiden Belarus Aleksandr Lukashenko, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Laos Thongloun Sisoulith dan Perdana Menteri Slovakia Robert Fico.

Baginda juga menyaksikan demonstrasi pesawat pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow pada 8 Mei, serta baru-baru ini menerima limosin Aurus Senat sebagai hadiah daripada pengeluar automotif Rusia.

Model itu jarang dimiliki di luar Rusia dan tidak dieksport secara meluas ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan