WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Insiden "Jelingan": Tiga Rakan Didakwa Sebabkan Kecederaan

14/05/2026 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Kepong pada 7 Mei lepas.

Tukang kayu Wong Weng Luen, 49, juruteknik Lai Kae Bin, 33, dan pekerja pusat memorial Wan Ken Fei, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Andrew Teh Tiek Hua, 49, di sebuah restoran di Jalan Kepong, Metro Prima di sini pada 2 pagi, 7 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh didenda atau dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

“Sekiranya jaminan diberikan kepada tertuduh, ada kemungkinan mereka akan melarikan diri dan mengganggu mangsa dalam kes ini,” katanya. 

Peguam S. Narasimhan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan anak guam telah memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa, selain mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

"Walaupun kes ini telah tular, namun tidak semestinya tertuduh tidak mendapat jaminan. Dalam kes ini, tertuduh telah serah diri dan mereka perlu diberikan peluang untuk diikat jamin,” katanya.

Turut hadir pada prosiding itu peguam pemerhati bagi mangsa, Chia Hui Ming.

Noridah tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga individu menyerang seorang lelaki sehingga cedera selepas didakwa menjeling sekumpulan individu ketika makan di sebuah restoran di Kepong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan