BEIJING, 14 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan rundingan di Dewan Besar Rakyat di sini pada Khamis, ketika Beijing dan Washington berusaha membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala.
Xi berkata dalam situasi antarabangsa yang sedang mengalami perubahan besar dan landskap dunia semakin huru-hara dan rumit, pemimpin negara kuasa besar perlu bersama-sama menjawab persoalan penting berkaitan sejarah serta masa depan umat manusia.
“Mampukah China dan AS mengelakkan ‘Perangkap Thucydides’ dan membentuk paradigma baharu dalam hubungan antara kuasa besar?
“Bolehkah kedua-dua negara bekerjasama dalam mendepani cabaran global serta menyuntik lebih banyak kestabilan kepada landskap dunia?
“Bolehkah kedua-dua negara memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat masing-masing serta masa depan manusia sejagat, dan bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah bagi hubungan dua hala?” kata Xi.
Perangkap Thucydides bermaksud kebangkitan suatu negara kuasa baharu adalah berdasarkan cabaran terhadap negara kuasa besar yang sedia ada.
Beliau turut menegaskan kepentingan bersama antara China dan AS jauh lebih besar berbanding perbezaan, manakala kejayaan sesebuah negara boleh dilihat sebagai peluang kepada negara yang satu lagi.
Beliau berkata hubungan dua hala yang stabil bukan sahaja penting kepada Beijing dan Washington, malah turut memberi manfaat kepada dunia.
“Kedua-dua pihak seharusnya menjadi sahabat, bukan lawan, serta merintis jalan yang betul bagi hubungan antara kuasa besar dalam era baharu melalui kejayaan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Xi berkata beliau berharap dapat bertukar pandangan dengan Trump mengenai pelbagai isu penting, selain bersama-sama memacu hubungan China-AS ke arah yang stabil, sihat dan lestari.
"Saya berharap 2026 dapat dijadikan titik permulaan yang signifikan dan simbolik bagi pembaikan hubungan dua hala, sekali gus menjadi legasi menyeluruh kepada hubungan China-AS.
"Saya dan Presiden Trump bersetuju untuk menjadikan pembinaan 'Hubungan China-AS yang Stabil, Strategik dan Konstruktif ' sebagai panduan baharu untuk tempoh tiga tahun akan datang atau lebih panjang, dan dipercayai akan disambut baik oleh rakyat kedua-dua negara serta masyarakat antarabangsa.
"Hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan AS pada asasnya adalah saling menguntungkan.
"Dalam menghadapi perbezaan pendapat dan pergeseran, rundingan secara sama rata adalah satu-satunya pilihan yang tepat.
"Delegasi ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara pula sudah mencapai hasil yang seimbang dan positif pada keseluruhannya. Ini merupakan khabar baik bagi rakyat kedua-dua negara malah seluruh dunia," kata Xi.
Selain itu, antara yang menjadi topik perbincangan dalam pertemuan Xi-Trump kali ini juga termasuk situasi Asia-Barat, Taiwan, krisis Ukraine dan Semenanjung Korea.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial