WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Empat Lagi Mayat Migran Indonesia Ditemukan, Jumlah Mangsa Hilang Mungkin Melebihi Jangkaan

15/05/2026 10:32 PM

IPOH, 15 Mei (Bernama) --  Empat lagi mayat mangsa bot membawa migran warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut meningkat kepada 16 orang setakat ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata tiga daripada mangsa ialah lelaki dan dijumpai pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh manakala satu lagi belum dikenal pasti identitinya dan ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil.

“Mayat yang belum dapat disahkan identiti itu dijumpai oleh pihak APMM melalui PERKASA 1238 sekitar sekitar 3 petang manakala tiga lagi dijumpai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia sekitar 5.45 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jumlah mangsa yang diselamatkan ialah 23 orang manakala 16 lagi terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan 39 setakat ini berbanding 37 seperti dilaporkan sebelum ini.

“Esok merupakan hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat dijalankan... sekiranya tiada lagi penemuan mayat, operasi berkenaan berkemungkinan ditamatkan,” katanya.

Insiden pada 11 Mei lepas menyaksikan sebuah bot yang dipercayai membawa migran warga Indonesia tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan