WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Suami Isteri Didakwa Aniaya Anak Saudara

17/05/2026 12:57 PM

KOTA BHARU, 17 Mei (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak saudara mereka pada April lepas.

Wan Saiful Azuan Wan Idris, 31, dan Yujas Nor Aida Jasmin Mohd Yusoff, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, Machang, kira-kira 10 malam pada 19 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhd Zulfaqar Saharrudin.

Terdahulu, Nur Syafiqah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana kes itu serius, bagaimanapun Mohd Taufikrullah memohon supaya jaminan diberikan kepada mereka kerana ia merupakan kesalahan pertama dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

Mahkamah membenarkan Wan Saiful Azuan dan Yujas Nor Aida Jasmin masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan