WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Lolos Ke Separuh Akhir Acara Kuadran Di Piala Dunia Sepak Takraw

18/05/2026 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Pasukan kuadran negara tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan Filipina 2-0 pada aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini, malam ini.

Kuartet negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shaharil Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bermula sedikit goyah pada set pertama apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga terikat 7-7.

Bagaimanapun, skuad kendalian Ahmad Jais Baharudin tampil lebih konsisten menerusi hadangan kemas serta penyudah servis yang berkesan untuk mengutip mata sebelum memenangi set pertama 15-13.

Pada set kedua, Filipina terlebih dahulu mendahului 3-0, namun Malaysia bangkit merapatkan kedudukan sebelum kedua-dua pasukan kembali terikat 8-8.

Malaysia kemudian meningkatkan rentak permainan untuk terus memberi tekanan kepada lawan sebelum menamatkan cabaran Filipina menerusi kemenangan 15-10 pada set kedua.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad negara semakin hampir merealisasikan sasaran untuk beraksi di pentas final kejohanan berprestij berkenaan.

Malaysia bakal berdepan Vietnam pada aksi separuh akhir selepas pasukan itu menewaskan Brunei 2-0 dalam satu lagi perlawanan suku akhir, sebentar tadi.

Sementara itu, Muhammad Shaharil mengakui pasukannya berdepan keletihan susulan jadual perlawanan padat sejak Sabtu lalu.

“Namun, kami cuba atasi dengan semangat berpasukan untuk mara ke separuh akhir. Menentang Vietnam nanti, kami akan cuba perkemaskan aspek hadangan dan serangan untuk melepasi benteng mereka. Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik.

“Buat masa ini, fokus kami hanya kepada separuh akhir. Kami tidak terlalu memikirkan final, sebaliknya mengambil pendekatan fokus satu demi satu perlawanan,” katanya.

Sebagai rekod, skuad kuadran negara muncul juara Piala Asia tahun lalu selepas menewaskan Jepun 2-0 pada aksi final.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan