KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Selepas tidak menyertai Malaysia Masters 2026 di sini minggu ini, pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dijangka kembali beraksi pada satu kejohanan di Amerika Syarikat (AS) bulan depan.
Perkara itu dikongsikan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menerusi hantaran Instagram mereka dengan memuat naik gambar Zii Jia ketika melawat kedutaan berkenaan menjelang kejohanan akan datang di Los Angeles.
“Dari KL ke LA! Kami berbesar hati menerima kunjungan bintang badminton Malaysia Lee Zii Jia dan pasukannya ke Kedutaan AS hari ini, ketika mereka membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan di Los Angeles.
“Sukan mempunyai cara unik untuk menyatukan dua negara, dan kami tidak sabar melihat LZJ mempamerkan bakat luar biasanya di gelanggang Amerika. Selamat berangkat dan semoga berjaya, Zii Jia,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan, pemain nombor 62 dunia itu akan menyertai Terbuka AS 2026 yang dijadual berlangsung di Titan Gymnasium, California State University, Fullerton dari 23 hingga 28 Jun.
Kejohanan Super 300 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD250,000 (RM993,725).
Semalam, Zii Jia dilaporkan menolak peluang saat akhir untuk menyertai pusingan kelayakan Malaysia Masters 2026 selepas beberapa pemain menarik diri.
Beberapa pemain utama termasuk pemain nombor satu dunia dari China Shi Yuqi dan pemain nombor tiga dunia dari Denmark Anders Antonsen memutuskan untuk tidak menyertai kejohanan Super 500 itu.
Malaysia Masters 2026 yang bermula hari ini hingga 24 Mei di Unifi Arena, Bukit Jalil menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).
Minggu lepas, Zii Jia tersingkir seawal pusingan kelayakan di Terbuka Thailand 2026 selepas tewas kepada pemain Israel Daniil Dubovenko 20-22, 10-21 pada pusingan pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial