WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sunway University, MACEE Meterai MoU Perkukuh Mobiliti Pertukaran Akademik Malaysia-AS

19/05/2026 06:40 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

PETALING JAYA, 19 Mei (Bernama) -- Sunway University dan Fulbright Malaysia (Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE)) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Selasa bermatlamat meluaskan pertukaran akademik dan mengukuhkan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

MoU yang dimeterai sempena EducationUSA Spring Fair 2026 itu dijangka memudahkan lagi mobiliti pelajar, pendidik dan penyelidik antara kedua-dua negara di bawah program Fulbright yang dikendalikan oleh MACEE.

Kuasa Hal Ehwal Kedutaan AS David H. Gamble Jr berkata kerjasama pendidikan kekal sebagai tonggak penting dalam hubungan dua hala, berikutan peningkatan hubungan Malaysia-AS kepada perkongsian strategik yang komprehensif.

"Perjanjian hari ini ialah peluang untuk mengeratkan hubungan pendidikan antara pelajar, antara profesor, tetapi yang paling penting antara pendidik dan menyatukan negara kita menerusi pendidikan dan melalui kecemerlangan dalam penyelidikan," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Gamble berkata permintaan dalam kalangan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di AS meningkat selepas pandemik, dengan lebih ramai pelajar mengembara antara kedua-dua negara setelah institusi pulih seterusnya mengembangkan program antarabangsa.

"Jadi, bagi sesiapa yang ingin belajar di AS, kami mempunyai proses visa yang dipercepat. Kami mahu pelajar datang ke AS, dan kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka mendapat visa mereka untuk melancong ke AS dan mempunyai pengalaman pendidikan di Amerika...," tambahnya.

Sementara itu, pengarah eksekutif Fulbright Malaysia (MACEE) Aeti Abdullah berkata MoU tersebut  merasmikan hubungan sedia ada antara kedua-dua institusi dan dijangka meningkatkan bilangan pertukaran melibatkan sarjana Fulbright Amerika di Malaysia dan rakyat Malaysia yang belajar di AS.

“Apa yang kita mahu lihat ialah mobiliti antara kedua-dua negara dan Sunway, saya fikir, berada dalam kedudukan terbaik untuk melakukan itu dan merealisasikannya. 

“Tahun ini juga ialah ulang tahun ke-80 Program Fulbright, kami mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia-Amerika berhubung, menyatukan mereka serta meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.

Presiden dan Naib Canselor Sunway University Prof Sibrandes Poppema berkata universiti itu telah menjadi tuan rumah kepada sarjana Fulbright daripada institusi termasuk Universiti Harvard dan Universiti Georgetown, dengan kerjasama berterusan melangkaui penempatan mereka.

Beliau berkata Sunway turut meneruskan kerjasama dengan beberapa universiti AS, termasuk Universiti Harvard dalam kesihatan global, Institut Teknologi Massachusetts dalam penyelidikan kemampanan, Universiti California, Berkeley dalam projek penangkapan karbon dan Arizona State University dalam program dwiijazah.

Poppema berkata kerjasama sedemikian mendedahkan pelajar kepada sistem dan pendekatan pendidikan yang berbeza, membantu mereka membangunkan perspektif dan penyelesaian yang lebih luas terhadap cabaran global.

MACEE, ditubuhkan pada 1963 untuk menggalakkan pertukaran pendidikan dan budaya antara Malaysia dan AS, menguruskan Program Fulbright bertujuan memupuk persefahaman bersama dan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan