Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 19 Mei (Bernama) -- Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, Indonesia, meletus tiga kali pada pagi Selasa dengan menghamburkan abu gunung berapi setinggi sehingga 1,000 meter di atas puncaknya.
Pegawai Pos Pemerhatian Semeru Mukdas Sofian berkata gunung berapi itu meletus pada 7.06 pagi dan 7.54 pagi waktu tempatan, dengan kedua-dua letusan menghasilkan julangan abu mencecah ketinggian 1,000 meter di atas puncak, atau sekitar 4,676 meter dari aras laut.
“Kolam abu diperhatikan berwarna putih hingga kelabu dengan intensiti tebal menghala ke arah tenggara dan selatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia.
Mukdas berkata letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 22 milimeter dan tempoh masing-masing selama 140 saat serta 145 saat.
Terdahulu, Semeru meletus pada 5.45 pagi waktu tempatan dengan julangan abu setinggi kira-kira 600 meter di atas puncak, menurut pegawai pos pemerhatian Yadi Yuliandi.
“Kolam abu diperhatikan berwarna kelabu dengan intensiti tebal menghala ke arah barat daya,” katanya sambil menambah bahawa letusan itu berlangsung selama 138 saat.
Gunung Semeru, yang berketinggian 3,676 meter, terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang di Provinsi Jawa Timur dan merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial