MELAKA, 19 Mei (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 akan mempersiapkan generasi muda hari ini untuk menghadapi cabaran masa hadapan, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata antara cabaran yang dikenal pasti termasuklah perubahan iklim, negara tua, warga global dan juga blok ekonomi baharu.
“Sebagai pengetua dan guru besar, mereka mesti nampak perkara-perkara itu akan berlaku dan bagaimana mereka hendak menerajui pendidikan di peringkat sekolah masing-masing berdasarkan RPM 2026-2035.
“Selain itu, RPM 2026-2035 juga menetapkan sasaran wajib capai terhadap pelajar, iaitu sekurang-kurangnya gred C bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Bicara Profesional Ketua Pengarah Pendidikan bersama Warga Pendidikan Melaka 2026 di Kolej Yayasan Saad di sini hari ini.
Mohd Azam berkata RPM 2026-2035 juga akan menjadi benteng terhadap rempuhan-rempuhan nilai daripada luar berikutan penggunaan teknologi digital tanpa sempadan.
Beliau berkata ia bakal menjadi jihad kepada guru-guru masa kini dalam membentuk generasi muda dengan sosioemosi dan adab yang tinggi selari dengan nilai budaya tempatan.
“Anak-anak kita dah mula ada rempuhan-rempuhan nilai-nilai luar yang kadang-kadang nilai-nilai itu tidak selari dengan pegangan dan budaya bangsa kita.
“Sebab itu, saya perlu sedarkan setiap guru supaya melihat perkara ini untuk kita jadikan sebagai jihad bagi membangunkan potensi anak kita dengan memperkukuh pegangan nilai budaya bangsa pada diri anak-anak kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial